PEMBENTANGAN RANG UNDANG-UNDANG KESALAHAN SYARIAH (KELANTAN) 2026
1. Kerajaan Negeri Kelantan akan membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan yang akan bersidang pada 27 Safar hingga 29 Safar 1448H bersamaan 11 hingga 13 Ogos 2026.
2. Rang Undang-Undang ini digubal bagi menggantikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Negeri Kelantan.
3. Penggubalan ini adalah merupakan langkah susulan Kerajaan Negeri bagi menangani implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024 dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid & Seorang Lagi lwn. Kerajaan Negeri Kelantan, yang memutuskan bahawa enam belas (16) peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 sebagai batal dan tidak sah, atas alasan bahawa Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal peruntukan-peruntukan tersebut.
4. Susulan dari keputusan tersebut, Kerajaan Kelantan sejak pertengahan 2024 telah mengambil tindakan menubuhkan Jawatankuasa Pindaan EKJS bagi meneliti dan menggubal semula bukan sahaja 16 peruntukan yang dibatalkan, bahkan membuat kajian menyeluruh terhadap EKJS (1) 2019.
5. Jawatankuasa ini dianggotai pakar perundangan sivil dan syariah, ahli akademik, pakar Perlembagaan dan pegawai-pegawai Kehakiman Syariah yang mewakili pihak berkepentingan bagi meneliti keseluruhan alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan sebelum penggubalan dilaksanakan.
6. Proses kajian, penelitian dan menyediakan deraf mentah RUU ini melalui pelbagai peringkat termasuk telah melalui pembentangan di hadapan Jemaah Ulama Kelantan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang bertanggungjawab menentukan persoalan fatwa dan hukum syara, justeru mengambil masa yang sedikit panjang.
7. Penggubalan ini mengambil pendekatan yang dibenarkan dalam ruang lingkup kompetensi Dewan Negeri untuk menggubal undang-undang negeri berdasarkan item 1 Senarai Negeri yang tidak tertakluk kepada klausa pengecualian (preclusion clause) iaitu berkaitan dengan pengwujudan dan penghukuman bagi kesalahan-kesalahan terhadap perintah agama islam (the precept of islam).
8. Suka saya quote antara ratio dalam kes NIK ELIN, dimana Mahkamah Persekutuan memutuskan:
QUOTE NIK ELIN:
‘Perintah agama Islam’ secara perlembagaan, merujuk pada satu daripada dua kategori luasnya: (i) apa-apa perkara yang termasuk dalam pemasukan khusus item 1 Senarai Negeri atau apa-apa peruntukan Perlembagaan yang diguna pakai termasuk per. 11(4); dan (ii) kesalahan bersifat keagamaan semata-mata berkaitan dengan (a) Aqidah; (b) kesucian agama Islam atau institusi- institusinya; atau (c) satu yang semata-mata berkait dengan moral dalam Islam.
9. Justeru pendekatan gubalan ini adalah dalam ruang lingkup “kesalahan-kesalahan yang bersifat keagamaan semata-mata yang berkaitan dengan (a) Aqidah; (b) Kesucian Agama Islam atau institusi-institusinya; (c) sesuatu yang berkait dengan moral dalam Islam”.
10. Rang Undang-Undang ini mengandungi sembilan (9) bahagian, enam puluh dua (62) seksyen dan satu (1) jadual. Ia digubal berasaskan prinsip pith and substance — inti pati sebenar sesuatu peruntukan undang-undang dengan memberi penekanan kepada kewajipan agama (taklifan) yang diperintahkan syarak sebagai inti pati setiap kesalahan. Susunan kesalahan dibuat mengikut kerangka Maqasid Syariah, iaitu penjagaan agama (hifz ad-din), nyawa (hifz an-nafs), akal (hifz al-‘aql), harta (hifz al-mal) dan keturunan (hifz an-nasb).
11. Rang Undang-Undang ini digubal dengan mengambil kira sepenuhnya alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin dan lain-lain kes sebelum itu, bidang kuasa Badan Perundangan Negeri dan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan. Penggubalan ini membuktikan bahawa undang-undang syariah mampu berkembang melalui ijtihad perundangan dalam kerangka Perlembagaan.
12. Terdapat juga peruntukan baharu dan ciri pembaharuan yang akan diperkenalkan melalui Rang Undang-Undang ini.
13. Butiran penuh Rang Undang-Undang ini akan dijelaskan secara terperinci semasa pembentangan di Dewan Undangan Negeri kelak. Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penggubalannya dan berharap ia mendapat sokongan padu Ahli-Ahli Yang Berhormat, dan seluruh rakyat Kelantan bahkan ummat Islam di Malaysia, demi memartabatkan perundangan syariah dalam negara kita.
Sekian.
DATO' DR. MOHAMED FADZLI BIN DATO’ HJ. HASSAN
Timbalan Menteri Besar Kelantan
Tarikh: 21 Safar 1448H bersamaan 5 Ogos 2026