SEBELUM KURANGKAN KUOTA BUDI95, ATASI DULU KEBOCORAN DIESEL SUBSIDI SKDS
Dua hari yang lalu, terdapat laporan dan perbincangan meluas bahawa kuota 200 liter BUDI95 mungkin dikurangkan kepada 150 liter seperti yang dilaporkan oleh beberapa media. Laporan tersebut juga merujuk kepada kenyataan atau pandangan Timbalan Menteri Kewangan. Perkara ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat, khususnya berkaitan kedudukan subsidi bahan api negara. Kita cukup faham negara sedang berada dalam kesempitan ekonomi. Subsidi bahan api naik berganda disebabkan perkembangan geopolitik di Timur Tengah, perang ciptaan Amerika dan Israel terhadap Iran.
Sebelum kerajaan potong kuota rakyat untuk kali kedua, kerajaan perlu melihat dulu kebocoran subsidi yang mengalir kepada syarikat gergasi asing. Diesel bersubsidi RM2.15 seliter di bawah Sistem Bekalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0) memang untuk pengendali logistik tempatan. Tidak dinafikan kita memerlukan itu.
Kita ingin bertanya adakah diesel yang dipakai untuk angkut beras atau sayur-sayuran ke pasar oleh petani di kampung dan desa adalah diesel yang sama untuk angkut makanan segera jenama asing, air bergas keluaran syarikat antarabangsa, arak yang diimport dan barangan mewah untuk golongan atasan. Adakah semuanya menggunakan diesel subsidi yang sama? Kalau ya, itu tidak adil.
Lori yang bawa beras ke Kelantan, diesel RM2.15. Lori yang bawa stok minuman ringan jenama antarabangsa atau arak dan barangan mewah import ke gudang di Shah Alam, pun diesel RM2.15. Syarikat yang untung berbilion setahun, mengguna dan menikmati subsidi untuk rakyat secara tak langsung. Kalau begitu, adalah tidak adil untuk memotong kuota yang melibatkan rakyat keseluruhan.
Ramai rakyat yang tinggal jauh dari bandar-bandar besar tanpa kemudahan pengangkutan awam yang pelbagai. Seorang guru di Gua Musang pandu 80 kilometer sehari pergi dan balik sekolah. Nelayan di Tumpat perlukan diesel untuk ke laut, dan petrol untuk bawa ikan ke pekan. 150 liter sebulan mungkin cukup untuk orang KL yang ada MRT. Tapi untuk rakyat luar bandar, setiap liter itu amat berharga.
Katanya mengikut data, 60 peratus rakyat guna kurang 150 liter sebulan. Mungkin betul kalau kira purata seluruh negara. Tapi purata itu menyembunyikan realiti orang kampung yang memang tak ada pilihan lain selain memandu kenderaan sendiri.
Ketatkan peraturan penggunaan subsidi diesel di bawah SKDS dan kekalkan kuota petrol BUDI95. Kerajaan hendaklah mengasingkan jenis barang yang boleh guna diesel subsidi. Beras, sayur, ubat, barangan asas rakyat, itu mesti dapat subsidi penuh. Tapi makanan segera asing, air bergas jenama global, arak, barang mewah, biar syarikat itu tanggung sendiri kos pengangkutan mereka. Mereka mampu. Rakyat yang tak mampu.
Pengendali lori SKDS hendaklah disyaratkan mengisytihar untuk siapa barang itu diangkut. Kalau muatan lori subsidi itu untuk satu syarikat antarabangsa, itu bukan subsidi untuk rakyat. Itu subsidi untuk golongan korporat. Hak rakyat yang susah tetapi dinikmati oleh golongan korporat yang kaya raya.
Itu adalah antara langkah yang boleh diambil oleh kerajaan bagi memastikan kuota kepada rakyat tidak terjejas. Sekiranya kerajaan berhasrat untuk potong kuota juga, bezakan mengikut lokasi. Orang bandar ada pilihan pengangkutan awam yang pelbagai. Orang Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak, tiada. Jangan sama ratakan kuota untuk semua.
Logiknya mudah. Tutup kebocoran korporat dulu, baru sentuh poket rakyat. Jangan syarikat gergasi asing masih selesa, rakyat biasa yang tertekan. Kita nak pastikan supaya sebarang pemotongan kuota BUDI95 hendaklah mengambil kira nasib rakyat luar bandar. Jangan sekadar berasaskan nombor purata, yang hakikatnya tersembunyi penderitaan rakyat jelata.
Sekian
Dato' Dr. Mohamed Fadzli Bin Dato' Haji Hassan,
Timbalan Menteri Besar Kelantan