TINDAKAN TEGAS KERAJAAN NEGERI KELANTAN TERHADAP AKTIVITI PERLOMBONGAN EMAS HARAM
Kerajaan Negeri Kelantan memandang serius kegiatan perlombongan emas secara haram yang masih berlaku di negeri ini. Aktiviti tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah Enakmen Mineral (Kelantan) 2001 dan tidak akan sesekali dikompromi kerana menjejaskan pengurusan sumber mineral negeri, merosakkan alam sekitar serta menghakis hasil yang menjadi hak Kerajaan Negeri dan rakyat Kelantan.
Pada 13 Julai 2026, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kelantan telah mengetuai satu operasi penguatkuasaan bersepadu di Galas, Jajahan Gua Musang dengan kerjasama agensi-agensi penguat kuasa bagi membanteras aktiviti perlombongan emas yang disyaki dijalankan secara haram.
Hasil operasi tersebut, tiga orang warga asing telah ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti perlombongan emas secara haram. Pasukan penguat kuasa turut merampas pelbagai jentera dan peralatan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan tersebut yang melibatkan dua buah excavator, dua buah jentolak, tiga buah lori, sebuah dumper, sebuah generator elektrik, sebuah palong besi serta 20 unit karpet yang digunakan dalam proses pengasingan mineral. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM4.2 juta.
Saya memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang masih menjalankan aktiviti perlombongan emas tanpa lesen atau kelulusan yang sah supaya menghentikan operasi mereka dengan serta-merta. Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan dan eksploitasi sumber mineral negeri secara haram.
Saya juga ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada individu yang ditahan di lokasi kejadian. Siasatan akan diperluaskan bagi mengenal pasti mana-mana individu tempatan yang menjadi dalang, pemodal, penganjur, orang tengah, penyedia jentera atau mana-mana pihak yang bersubahat, memberi perlindungan atau memperoleh manfaat daripada kegiatan perlombongan emas haram. Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, tindakan undang-undang akan diambil tanpa mengira kedudukan atau pengaruh.
Sebagai tindakan susulan, Kerajaan Negeri akan membuka kertas siasatan dan menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk pemeriksaan di lapangan, pengumpulan bahan bukti serta pemanggilan saksi-saksi bagi melengkapkan siasatan. Setelah siasatan selesai, tindakan pendakwaan akan diteruskan terhadap semua pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut peruntukan Enakmen Mineral (Kelantan) 2001 dan undang-undang berkaitan.
Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan secara bersepadu bersama PTG, Bahagian Penguatkuasaan Negeri Kelantan (BPNK), PDRM, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta agensi-agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan perlombongan haram sehingga ke akar umbi.
Kerajaan Negeri menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan perlombongan emas haram supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa. Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan khazanah mineral negeri terus dipelihara dan diurus mengikut lunas undang-undang demi kepentingan rakyat dan generasi akan datang.
Sekian.
DATO' DR. MOHAMED FADZLI BIN DATO’ HJ. HASSAN
Timbalan Menteri Besar Kelantan
Tarikh: 30 Muharram 1448H bersamaan 16 Julai 2026